Tadbir Urus Korporat

Jawatankuasa Lembaga

PNB menghargai budaya Lembaga Pengarah yang kukuh dan sihat untuk memastikan kepentingan pihak berkepentingan PNB dan mandat daripada Kerajaan dilindungi.

Lembaga Pengarah ini diketuai oleh Pengerusi Kumpulan yang bertanggungjawab memupuk amalan tadbir urus yang baik, kepimpinan dan keberkesanan Lembaga, dengan sokongan daripada Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan (PGCE) serta ahli-ahli Lembaga yang lain. Setiap peranan mereka didefinisikan dalam Piagam Lembaga Pengarah dengan jelas.

Lembaga Pengarah juga memacu komitmen dan sasaran kelestarian, memantau strategi pelaburan lestari, dan meneliti kemajuan, termasuk jejak karbon dan kemajuan komitmen.

Penamaan & Imbuhan

Jawatankuasa Pencalonan & Imbuhan (NRC) mengenal pasti dan mencadangkan calon untuk Lembaga Pengarah dan pengurusan utama PNB serta Anak Syarikat dan Syarikat Pelaburannya, melalui polisi dasar dan sistem penilaian yang telah ditetapkan. NRC juga membantu Lembaga Pengarah dalam memastikan imbuhan yang adil dan kompetitif untuk Pengarah dan pengurusan PNB serta anak syarikatnya, sambil mengawasi dasar polisi untuk pelantikan dan imbuhan.

Pelaburan

Jawatankuasa Pelaburan membantu Lembaga Pengarah untuk merangka pelan dan strategi, dan meluluskan pilihan pelaburan untuk portfolio pelaburan PNB dan unit dana amanah yang diurus PNB, tertakluk kepada had kuasa yang ditetapkan Lembaga Pengarah. Jawatankuasa ini juga mempertimbangkan sebarang tawaran penggabungan dan pengambilalihan.

Pengurusan Risiko

Jawatankuasa Pengurusan Risiko (RMC) menyemak dan mencadangkan kepada Lembaga Pengarah mengenai falsafah, dasar, dan strategi mitigasi pengurusan risiko untuk mengurus risiko utama Kumpulan PNB, dan untuk memantau rangka kerja bersepadu pengurusan risiko Kumpulan PNB.

Pematuhan

Jawatankuasa Pematuhan ditubuhkan untuk menentukan, meluluskan, menyemak, dan memantau Pelan Kerja Pematuhan dan Integriti Jabatan Pematuhan dan Jabatan Integriti serta menyemak laporan pematuhan dan membuat saranan.

Penasihat Syariah

Panel Penasihat Syariah ditubuhkan untuk menasihati serta memberikan pendapat dan panduan berkenaan isu yang berkaitan kepatuhan Syariah bagi pelaburan-pelaburan PNB dan untuk membantu PNB mematuhi prinsip-prinsip syariah.