
PENGHARGAAN KEPADA PELABUR
PNB telah ditubuhkan pada 17 Mac 1978, sebagai satu daripada jentera Dasar Ekonomi Baru dalam mempertingkatkan kedudukan ekonomi masyarakat Bumiputera dan memperseimbangkan kedudukan ekonomi pelbagai kaum ketika itu.
Sejak itu, PNB telah memainkan peranan penting dalam menggembleng modal kaum Bumiputera dan menjadikan Unit Amanah sebagai mekanisme untuk membantu meningkatkan tahap ekonomi. Hingga kini, unit-unit amanah PNB terus menjadi pilihan utama bukan sahaja dikalangan Bumiputera tetapi juga bukan Bumiputera.
Sebagai institusi pelaburan utama negara, PNB bukan sahaja berperanan dalam mempertingkatkan usaha untuk memenuhi keperluan para pelaburnya untuk memperoleh pulangan jangka panjang, tetapi pada masa yang sama turut memberi penekanan kepada usaha-usaha pembangunan taraf hidup masyarakat menerusi perlaksanaan variasi Tanggungjawab Sosial Korporatnya.
Sumbangan serta penglibatan PNB kepada masyarakat merupakan satu usaha yang berterusan untuk dihayati serta dinikmati oleh pelbagai peringkat lapisan dan masyarakat.
Sebagai sebuah institusi pelaburan yang menguruskan pelaburan orang ramai, aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat PNB ini turut menjadi salah satu teras serta misi PNB untuk mendekati orang ramai dan sebagai refleksi organisasi yang sensitif kepada persekitaran. Malah ia dilihat sebagai tanda terima kasih PNB di atas sokongan orang ramai terhadap pengurusan PNB selama ini. Lebih jauh dari itu PNB dilihat berkongsi kepakaran dan ilmu kepada para pelaburnya dan juga nikmat yang diperolehi hasil daripada kemakmuran negara dengan masyarakat umum.
Adalah menjadi harapan PNB agar program Tanggungjawab Sosial Korporat PNB seperti program pendidikan pelaburan bersepadu yang dirangka, penyediaan rangkaian kemudahan prasarana kepada masyarakat pedalaman dan kepelbagaian program peningkatan ilmu dapat melahirkan generasi berilmu dan berdaya saing seiring objektif dan keperluan jangka panjang negara dalam meniti matlamat negara maju menjelang tahun 2020.