Minggu Saham Amanah Malaysia 2011 - Ipoh, Perak.
Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM), acara pendidikan pelaburan tahunan anjuran Permodalan Nasional Berhad (PNB) kali ini akan diadakan di Ipoh, Perak. Penganjuran kali ke-12 ini akan dirasmikan oleh Perdana Menteri YAB Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak di Stadium Indera Mulia, Kompleks Majlis Bandaraya Ipoh pada 20 April 2011.
Bertemakan "Pelaburan Untuk 1Malaysia", acara yang akan berlangsung selama tujuh hari sehingga 26 April 2011 akan memuatkan pelbagai aktiviti pendidikan pelaburan untuk pelbagai lapisan masyarakat.
Berteraskan penyertaan dan sokongan menyeluruh semua pihak yang terlibat dalam industri unit amanah, termasuk kerajaan negeri, syarikat-syarikat Kumpulan PNB, badan-badan kawal selia, agensi-agensi kerajaan dan swasta serta pihak media. Aktiviti-aktiviti MSAM dipersembahkan melalui kaedah yang interaktif, menggabungkan kreativiti dalam aktiviti-aktiviti yang berteraskan pendidikan pelaburan.
Melalui MSAM, masyarakat turut didedahkan tentang faedah pelaburan menerusi unit amanah yang memiliki ekuiti menerusi PNB dalam syarikat-syarikat yang merupakan peneraju pelbagai sektor ekonomi utama negara.
Syarikat-syarikat ini seperti Malayan Banking Berhad, Sime Darby Berhad, I & P Group Sdn Berhad, UMW Holdings Berhad, Chemical Company of Malaysia Berhad, Malaysian Industrial Development Finance Berhad, MNRB Holdings Berhad, NCB Holdings Berhad, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd, Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd, Pernec Corporation Berhad dan Takaful IKHLAS Sdn Bhd akan mempamerkan aktiviti perniagaan mereka di samping mengadakan pelbagai aktiviti lain untuk para pengunjung.
Selain daripada syarikat-syarikat strategik PNB ini, MSAM juga akan mempamerkan aktiviti-aktiviti oleh syarikat-syarikat pelaburan PNB yang lain, badan-badan kawal selia daripada agensi-agensi Kerajaan seperti Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti, Bursa Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan juga ejen-ejen unit amanah PNB melalui lebih 182 gerai pameran.
Sepanjang 11 tahun penganjurannya, agenda tahunan negara ini telah berjaya meraih penyertaan kira-kira 2 juta pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Sejak acara pertama yang diadakan pada 20 April, 2000 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur dengan catatan 60,000 pengunjung, MSAM telah menjelajah ke seluruh negara meliputi lokasi-lokasi seperti Kota Bharu, Kelantan (2001 – 190,000 pengunjung), Alor Star, Kedah (2002 – 160,000 pengunjung), Stadium Merdeka, Kuala Lumpur (2003 – 85,000 pengunjung), Kepala Batas, Pulau Pinang (2004 – 200,000 pengunjung), Seremban, Negeri Sembilan (2005 – 155,000 pengunjung), Kuala Terengganu, Terengganu (2006 – 255,000 pengunjung), Kuantan, Pahang (2007 – 200,000 pengunjung), Melaka (2008 – 249,000 pengunjung), Johor Bahru, Johor (2009 – 156,000 pengunjung) dan Kuching, Sarawak (2010-187,000 pengunjung).
Objektif utama penganjuran MSAM ini adalah untuk menyalurkan sebanyak mungkin maklumat tentang pelaburan dan perancangan kewangan kepada seluruh rakyat Malaysia. Para pengunjung ke MSAM berpeluang mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti berkonsepkan hibur didik yang diadakan setiap hari sepanjang berlangsungnya acara ini. Lebih menarik, aktiviti-aktiviti yang diadakan turut menawarkan pelbagai hadiah untuk dimenangi.
Jangan lepaskan peluang ini. Kunjungilah MSAM 2011! |