Tahun ini, bagi tahun kesembilan, penganjurannya akan di adakan di Melaka International Trade Centre (MITC), Ayer Keroh, Melaka mulai 19 hingga 28 April, 2008. Lebih istimewa, tahun ini turut meraikan sambutan 30 tahun penubuhan PNB.
Berteraskan penyertaan dan sokongan menyeluruh semua pihak yang terlibat di dalam industri unit amanah, termasuk kerajaan negeri, syarikat-syarikat Kumpulan PNB, badan-badan kawal selia, agensi-agensi kerajaan dan swasta serta pihak media, objektif penganjuran MSAM diterjemahkan melalui kaedah ‘interaktif dan kreatif’, menggabungkan pameran dan aktiviti-aktiviti yang berteraskan pendidikan dan hibur didik.
Melalui MSAM, masyarakat didedahkan tentang ‘faedah-faedah besar pelabur’ menerusi pemilikan ekuiti oleh PNB di dalam syarikat-syarikat unggul dan strategik yang merupakan peneraju pelbagai sektor ekonomi utama negara. Kelebihan atau faedah ini mampu ditawarkan oleh PNB sebagai antara institusi pelaburan terulung negara. Selain menimba ilmu pelaburan, para pengunjung berpeluang mengambil bahagian dalam pelbagai acara aktiviti berkonsepkan hibur didik yang diadakan setiap hari sepanjang berlangsungnya MSAM yang turut menawarkan pelbagai hadiah menarik untuk dimenangi.