Permodalan Nasional Berhad

Penganjuran agenda tahunan Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) merupakan antara usaha PNB untuk mendidik masyarakat tentang kepentingan pelaburan dan unit amanah sebagai satu alternatif merancang kewangan dan pelaburan demi keperluan kewangan masa depan diri dan keluarga. MSAM pertama kalinya dianjurkan di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur pada 20 April, 2000. Ianya dianjurkan berikutan kejayaan Minggu Pelaburan Bersama PNB pada 1999 dan telah mencatatkan seramai 60,000 pengunjung.

MSAM turut menjelajah ke beberapa buah negeri, iaitu di Kota Bharu, Kelantan (2001 – 190,000 pengunjung), di Alor Star, Kedah (2002 – 160,000 pengunjung), di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur (2003 – 85,000 pengunjung), Kepala Batas, Pulau Pinang (2004 – 200,000 pengunjung), Seremban, Negeri Sembilan (2005 – 155,000 pengunjung) dan Kuala Terengganu (2006 – 255,000 pengunjung). Tahun ini, MSAM yang kini memasuki tahun kelapan penganjurannya akan di adakan di Padang Majlis Perbandaran Kuantan 2, Kuantan, Pahang mulai 20 hingga 29 April, 2007. Majlis pembukaannya akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Y.A.B. Dato’ Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi pada 20 April, jam 3.00 petang bertempat di Khemah MSAM, Padang MPK2, Kuantan, Pahang. Dijangka seramai 2,000 tetamu akan menghadiri majlis tersebut.

Majlis penutup pula akan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Y.A.B. Dato‘ Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak pada 29 April, jam 10.00 pagi di tempat yang sama. Ini diikuti dengan Majlis Makan Malam sebagai tanda terima kasih yang akan dihadiri oleh Menteri Besar Pahang, Y.A.B. Dato’ Sri Adnan bin Yaakob, selaku tuan rumah.

Melalui sokongan dan penyertaan menyeluruh semua pihak yang terlibat dalam industri unit amanah, termasuk kerajaan negeri, syarikat-syarikat Kumpulan PNB, badan-badan kawal selia, agensi-agensi kerajaan dan swasta serta pihak media, MSAM diterjemahkan melalui kaedah ‘interaktif dan kreatif’, menggabungkan pameran dan aktiviti-aktiviti yang berteraskan pendidikan dan hibur didik.

Secara keseluruhannya, penganjuran MSAM setiap tahun adalah bermatlamat untuk menyalurkan maklumat tentang pelaburan dan perancangan kewangan kepada rakyat Malaysia supaya mereka bijak mengurus kewangan mereka. Dalam erti kata lain, untuk melahirkan lebih ramai PELABUR BIJAK.