Karnival Kerjaya Timur Tengah 2007 (MECC 2007) adalah program usahasama antara Permodalan Nasional Berhad, syarikat-syarikat berkaitan Kerajaan (GLC), Jawatakuasa Khas Hal Ehwal Pelajar Luar Negara Majlis Tertinggi UMNO Malaysia dan  Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. 

Karnival ini adalah inisiatif  yang dilaksanakan dengan matlamat membentuk modal insan kelas pertama melalui program bersama pelajar-pelajar di Timur  Tengah untuk mendedahkan mereka dengan potensi serta peluang kerjaya di Malaysia.

Program ini memberi tumpuan terhadap pasaran kerjaya tempatan khususnya dalam bidang kewangan, takaful, perbankan Islam, hospitaliti dan pendidikan.  Pada masa yang sama, ia turut berperanan sebagai platform untuk memaklumkan pencapaian dan kegemilangan Malaysia dalam pelbagai sektor pembangunan negara.

Kaherah dipilih sebagai langkah permulaan dan medan menemukan badan korporat dan agensi kerajaan memandangkan jumlah populasi pelajar-pelajar Malaysia yang tinggi di sini yang masih belum diterokai.  Kaherah turut terkenal sebagai  lokasi yang menempatkan institusi-institusi pengajian tinggi tersohor yang berjaya melahirkan graduan berkualiti, khususnya dalam bidang Syariah, Usuluddin, perubatan dan pengajian bahasa Arab.

OBJEKTIF PROGRAM

  • Menyedarkan warga pelajar  Malaysia di Mesir tentang peluang kerjaya di Malaysia khususnya dalam bidang kewangan, takaful, perbankan Islam, hospitaliti dan pendidikan.
  • Menyediakan platform kepada syarikat-syarikat Malaysia untuk mencungkil potensi sumber modal insan dari golongan pelajar yang merupakan warga Malaysia yang menuntut di Mesir yang mempunyai kelulusan berlatarbelakangkan agama.
  • Mendedahkan kepada pelajar Malaysia di Mesir peluang melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang kewangan, takaful dan perbankan Islam  sebagai pelengkap kepada jurusan berteraskan syariah yang mereka ikuti, melalui program  PNB Investment Bridging (PNBIB) menerusi PNB Investment Institute.
  • Mempromosikan syarikat yang bersedia untuk menerima pelajar lulusan Timur Tengah.