Penyelidikan adalah teras yang penting di dalam semua bentuk perniagaan yang berkaitan dengan pelaburan. Atas dasar tersebut, fungsi utama Jabatan Penyelidikan dan Analisa Teknologi adalah menjalankan penyelidikan kualitatif dan kuantitatif ke atas syarikat, industri, pasaran saham dan teknologi. Para juruanalisa professional kami sentiasa mengikuti perkembangan setiap sektor bagi mengenalpasti kemungkinan yang akan berlaku yang akan memberi kesan ke atas syarikat, pelanggan, pembekal dan pesaing mereka. Ini adalah untuk memastikan bahawa portfolia yang dilaburkan oleh PNB sentiasa mempunyai nilai yang bertambah untuk tempoh jangka panjang.
Proses penyelidikan di PNB mengenalpasti syarikat yang mempunyai daya saing yang tinggi dan stabil, jangka hayat produk yang panjang, serta di dalam sektor yang memberangsangkan. Ini merangkumi tanggungjawab bagi mengenalpasti syarikat, sebaliknya yang mempunyai risiko tinggi dan prospek yang kurang memberangsangkan, bertujuan sebagai amaran awal kepada PNB dari melabur di dalam syarikat atau sector industri tersebut.
Proses penyelidikan di PNB juga melibatkan aktiviti meramal dan mengenalpasti perkembangan di dalam teknologi, pengurusan, polisi kewangan dan fiskal, di samping faktor politik sosial yang boleh mempengaruhi perundangan, permintaan dan penawaran, serta harga input bagi pengeluaran di dalam pasaran tempatan dan luar negara yang berkaitan. Analisa teknologi pula memfokus ke arah mengenalpasti perubahan di dalam teknologi yang berpotensi untuk membentuk industri baru menggantikan teknologi yang lapuk atau tidak digunakan lagi.
Jabatan Penyelidikan dan Analisa Teknologi juga memfokus kepada perbandingan global, di mana bersesuaian, membabitkan syarikat persendirian, syarikat awam atau syarikat modal teroka di dalam sektor yang sama, yang beroperasi di dalam pasaran, perundangan dan ekonomi yang pelbagai.
>Perubahan dan aliran di dalam industri unit amanah juga sentiasa diikuti bagi memastikan PNB kekal berdaya saing dan terus menyumbang sebagai warga korporat yang bertanggungjawab kepada bangsa, agama dan negara. Falsafah dan budaya korporat kami menggalakkan kemajuan professional bagi melahir dan seterusnya mengekalkan juruanalisa yang bertauliah dan berpengalaman bagi memastikan penyelidikan yang komprehensif di dalam bidang kemahiran masing-masing.