Sebagai bukti komitmen terhadap peningkatan berterusan proses perniagaan, PNB merupakan pengurus dana pertama di Malaysia yang memperolehi persijilan MS ISO 9002 bagi proses pelaburannya. Kami mengamalkan proses pelaburan yang dinamis dan berdisiplin berasaskan:
Keputusan pelaburan secara berpasukan berasaskan penyelidikan dan analisa fundamental Melalui analisis fundamental yang terperinci, PNB menilai, memilih dan melabur dalam saham-saham syarikat yang berpotensi untuk memberikan pulangan jangka panjang. Pemilihan saham-saham ini adalah berdasarkan penilaian terperinci daripada juruanalisa kami yang akan mengemukakan senarai saham yang terpilih kepada jawatankuasa pelaburan PNB untuk kelulusan.
Pendekatan atas-ke-bawah dan bawah-ke-atas PNB sentiasa mempertimbangkan pelaburan dalam industri-industri yang berpotensi bagi memperolehipertumbuhan jangka panjang serta mendapat faedah daripada globalisasi dan sektor-sektor yang dianjurkan oleh kerajaan sebagai sektor strategik pada masa hadapan. Strategi pelaburan PNB adalah berdasarkan penganalisaan terperinci oleh juruanalisa ekonomi, industri dan pelaburan kami. Kami sentiasa berusaha untuk memperkukuhkan portfolio pelaburan kami melalui strategi peruntukan asset optimal dan proses pempelbagaian aset pelaburan.
Penekanan Terhadap Pengurusan Risiko yang Aktif Dana-dana yang diuruskan oleh PNB dilaburkan dalam portfolio pelaburan yang dipelbagaikan yang terdiri daripada syarikat-syarikat yang disenaraikan dan tidak disenaraikan serta dari pelbagai sektor ekonomi. Melalui peruntukan aset pelaburan yang aktif, PNB mampu mengurangkan risiko kerugian akibat kejatuhan pasaran saham serta mampu mengambil kesempatan di atas pemulihan pasaran saham bagi menjana keuntungan bagi membolehkan PNB memberi pulangan yang kompetitif kepada pelabur. Strategi pelaburan PNB adalah berdasarkan rangka pelaburan yang disiplin yang disokong olehpenganalisaan terperinci terhadap pasaran saham semasa meliputi prospek ekonomi, nilai saksama pasaran dan keperluan kecairan sesuatu portfolio pelaburan.
Pematuhan terhadap keperluan perundangan Sebagai sebuah institusi pelaburan, PNB tertakluk kepada peraturan dan garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa yang memantau industri pelaburan seperti Suruhanjaya Sekuriti. Sebagai langkah kawalan dalaman bagi proses pematuhan ini, PNB telah menubuhkan Jabatan Pematuhan yang bertindak sebagai pemantau terhadap aktiviti-aktiviti pelaburan selaras dengan peraturan yang ditetapkan oleh Akta Syarikat dan akta Suruhanjaya Sekuriti. Selain itu, Ahli Lembaga Pengarah dan Jawatankuasa Pelaburan PNB sentiasa dirujuk dari semasa ke semasa dalam mengendalikan proses dan prosedur pelaburan kami.
Pengukuran prestasi yang berterusan Dari semasa ke semasa, prestasi dan tahap kecekapan PNB diukur mengikut garis pengukur yang sesuai. Pada prinsipnya, struktur organisasi PNB adalah diselaraskan mengikut fungsinya sejajar dengan misi dan matlamat pelaburan PNB di samping menggalakkan sinergi, kreativiti dan inovasi.