Permodalan Nasional Berhad (PNB) menganjurkan program ‘Bersama PNB 2009’ di Padang Merdeka, Kuching, Sarawak pada 19 hingga 21 Mei, 2009. Program selama tiga hari ini telah dilancarkan oleh Ketua Menteri Sarawak, YAB Pehin Sri Dato’ Haji Abdul Taib Mahmud.
Program ini turut dihadiri oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Datuk Amar Wilson Baya Dandot, Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji bin Abdul Hamid serta Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Dato’ Hamad Kama Piah bin Che Othman.
Program ini bermatlamat meningkatkan ilmu pengetahuan rakyat khususnya masyarakat setempat mengenai pelaburan dan perancangan kewangan. Pada masa yang sama, pengunjung berpeluang mengenali syarikat PNB dengan lebih dekat lagi serta mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti hibur didik yang disediakan.
Bersama PNB 2009 mendapat sokongan padu daripada 30 peserta pameran yang terdiri daripada syarikat-syarikat pelaburan PNB, badan kawal selia dan agensi-agensi kerajaan.
Antara yang terlibat adalah 13 Rakan Bersama PNB yang terdiri daripada Kumpulan Maybank dan Sime Darby Berhad sebagai Rakan Premier; Chemical Company of Malaysia Berhad; I & P Group Sdn Berhad; Malaysian Industrial Development Finance Berhad; NCB Holdings Berhad; Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd dan MNRB Holdings Berhad sebagai Rakan Utama manakala MMC Corporation Berhad; UMW Holdings Berhad Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Berhad, Takaful Ikhlas serta Pernec Corporation Berhad pula terlibat sebagai Rakan Bersama.
Bersama PNB 2009 merupakan penganjuran kedua oleh PNB selepas program seumpamanya diadakan buat pertama kali pada 2006 di Pekan, Pahang.
Menerusi Bersama PNB 2009, usaha pendidikan pelaburan dijelmakan dalam bentuk menarik dan mudah difahami menerusi pelbagai aktiviti hibur didik merangkumi Bijak Padan serta Bijak Cari Bijak Cantum, aktiviti Mukun Bestari dan banyak lagi.
Pengunjung cilik juga berpeluang menyertai Pertandingan Mewarna, Jelajah Pameran Bersama Along dan mengikuti aktiviti Hibur Didik bersama Along.
Bersama PNB 2009 turut menyediakan Program Ikon Inspirasi yang menyaksikan kemunculan pengembara Negara pertama ke kutub Utara dan kutub Selatan, Datin Paduka Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir dan pelbagai program berteraskan pendidikan pelaburan.
Para pengunjung juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik yang ditawarkan setiap hari sepanjang tempoh penganjuran seperti motosikal, DVD Micro Hifi, televisyen, basikal, ketuhar gelombang dan sebagainya menerusi kuiz pelabur bijak.